Welcome to my world. Be nice here. Thank you. +Follow | Dashboard
Nor Izzati


Y
Assalammualaikum and hi. Welcome to my OFFICIAL blog. Hope you guys will enjoy here. Wanna read my own writing? Click the stuff button. By the ways, thanks for dropping by!

Nor Izzati


Nor Izzati

Create Your Badge


Big Claps!



Template : Qistina Re
others : una & Athirah
Best view : Google Chrome



Monday 5 November 2012 | 06:29 | 0 comments


                                                                      BUATMU IBU
Azan subuh bilal Zaman memecah kesunyian subuh pada hari itu. Seperti biasa menyeru
semua umat Islam supaya menjalankan kewajiban kepada-Nya. Ada yang bersiap-siap mahu
 ke surau, ada juga yang masih lena diulit mimpi, tidak kisah lansung dengan perintah Tuhan.
Seperti kebiasaan, Amani akan menunaikan solat subuh berjemaah bersama ibunya,
Puan Hidayah. Usai solat subuh, Amani dan ibunya berdoa di atas tikar sejadah, memohon
keampunan pada Yang Esa. Entah perasaan apa yang membuat Amani berasa sayu pada pagi
yang hening itu, mungkin perasaan rindu. Rindu pada ayahnya yang sudah lima tahun
meninggal dunia.
     Sejak kematian suaminya, Puan Hidayah menjadi patah kandar tidak tahu mahu
bergantung harap pada siapa. Dialah ayah, dialah ibu bagi Amani. Mahu meminta ihsan
keluarga, semua adik-beradiknya membencinya. Entah apa salahnya berkahwin dengan
arwah Encik Azman. Dia dianggap telah mencalit noda pada keluarganya kerana berkahwin
dengan seorang buruh yang tidak punya apa-apa. Puan Hidayah tidak kisah, asalkan
pekerjaan yang dilakukan oleh suaminya halal, itu sudah mencukupi. Sejak kematian
suaminya, Amani yang menjadi swadaya Puan Hidayah. Dia tidak mahu kehilangan
Amani, seperti mana dia kehilangan suaminya dahulu.
     Selepas solat subuh, seperti biasa Amani akan menolong ibunya menyediakan sarapan.
Kehidupan mereka tidak seperti orang lain, mewah. Mereka hanya makan apa yang ada.
 Itupun sudah cukup memadai bagi mereka. Amani memang tidak memilih.
     “Nanti Amani tolong ibu di sawah ya,”kata Puan Hidayah kepada Amani.
     “Baiklah bos!” Jawab Amani berseloroh sambil mengunyah nasi di dalam mulutnya.
     Puan Hidayah tersenyum melihat keletah anak tunggalnya itu. Amani sering menolong
ibunya di sawah kerana dia tidak punya apa-apa aktiviti sepanjang cuti sekolah.
     Kadang-kadang Puan Hidayah menangis mengenangkan nasib anaknya itu. Dia tidak
mahu hidup anaknya hancur seperti hidupnya. Puan Hidayah tidak pernah berhenti berdoa
supaya hidup Amani akan menjadi lebih baik kelak. Dia berharap agar Amani dapat
mengubah nasibnya dan keluar dari kepompong kemiskinan. Tiada apa yang diharapkan oleh
Puan Hidayah selain Amani berjaya dengan cemerlang di masa hadapan. Dia tidak kisah jika
dia terpaksa berhempas pulas untuk menyara kehidupan mereka berdua.  Puan Hidayah
menyeka air mata yang mengalir.
     “Mengapa ibu?” Soal Amani kebimbangan.
     “Ibu penat ya? Pergilah berehat dahulu, biar Amani yang buat kerja ini,” ucap Amani lagi.
     “ Ibu penat sedikit, tidak mengapa, sikit sahaja lagi kerja ini. Ibu mampu buat lagi.” Ucap
Puan Hidayah sambil tersenyum kelat. Puan Hidayah sengaja tidak mahu berterus terang
kerana dia tahu Amani pasti risau sekiranya mengetahui bahawa ibunya sedang menangis.
     “Ibu menangis, pasti ada sesuatu yang tidak kena.” Amani bermonolog sendirian.
Dia tahu ibunya berbohong padanya. Dia bukan lagi budak kecil yang senang dibohongi, dia
sudah pun berusia 14 tahun. Sudah cukup matang untuk menilai sesuatu perkara.
     “Ibu… ibu teringatkan ayah bukan?” Soal Amani ketika dilihat ibunya sedang termenung
jauh.
     “Eh, tidaklah. Ibu sedang perhatikan burung-burung itu takut mereka makan padi kita”
ujar Puan Hidayah dengan tenang.
     “Oh… ingatkan ibu termenung tadi, sebab nampak ibu seperti termenung. Mana tahu
badan ibu sahaja di sini tapi fikiran ibu berada di London,” usik Amani.
     “Haha”  meledak ketawa mereka berdua, memecah kesunyian di pondok usang tersebut.
Pondok itulah yang menjadi tempat mereka untuk melepaskan lelah setelah seharian penat
 berhempas pulas di sawah. Pondok usang yang hanya tunggu masa untuk jatuh  menyembah
bumi. Pondok itu dibina sendiri oleh Encik Azman, arwah suami Puan Hidayah.
Kerana itulah Puan Hidayah sedaya upaya menjaga pondok itu. Segala kerosakkan yang
berlaku pasti dibaikinya dengan segera namun oleh kerana mereka datang dari
golongan marhean, Puan Hidayah tidak mampu untuk membaiki sebarang kerosakan besar
yang berlaku.
Matahari sudah mula terbenam. Burung-burung mula bertebangan pulang ke sarang
masing-masing. Kanak-kanak kecil kelihatan riang berkejaran pulang ke rumah
masing-masing. Amani masih tegar berdiri di situ, di pondok usang tersebut melihat keletah
dan ragam manusia yang gembira hidupnya. Ada yang masih bermain ada juga yang sedang
berkejaran.
     “Alangkah seronoknya aku jika kehidupan aku seperti mereka,” ujar Amani perlahan.
Dia juga seperti remaja yang lain, inginkan kesenangan hidup. Mendapat apa yang
diingini dengan mudah tanpa perlu berhempas pulas bekerja. Bohong sekiranya
dia tidak mahu kemewahan dalam kehidupannya, namun dia sedar dia hanya sebutir
pasir yang ada di mana-mana jika dibandingkan dengan permata di luar sana. Dia tahu dia
dan ibunya tidak mampu.
     Di sekolah dia seperti patung bernyawa apabila rakan-rakannya bersembang mengenai
gadjet terkini. Dia sering dihina oleh rakan-rakannya, katanya dia ketinggalan zaman.
Namun, itu lansung tidak mematahkan semangatnya untuk ke sekolah. Dia menetapkan
azam, dia ke sekolah bukan mahu menunjuk-nunjuk, bukan mahu riak dan megah bercerita
tentang kemewahan hidup. Dia ke sekolah hanya kerana mahu mencedok ilmu pengetahuan
yang akan menjadi penyuluh di masa hadapan.
     Amani masih ingat lagi pesan arwah ayahnya,
     “Kita hidup mesti ‘ukur baju di badan sendiri’, jangan ikut orang nanti kelak merana diri.”
     Amani menyeka air mata yang laju mengalir membasahi pipinya. Sedih, sebak, pilu
semuanya bercampur baur.
     “Amani, kenapa masih berdiri di luar? Hari sudah hendak senja, mari masuk. Tidak baik
 berada di luar rumah semasa senja,” leter ibunya.
     “Ya Allah! Sudah senja rupanya. Lamanya aku melayan perasaan sampai tidak sedar hari
sudah senja.” Bicara Amani seorang diri.
     Segera dia masuk ke rumah dan mempersiapkan diri untuk solat maghrib bersama ibunya.
     “Amani menungkan apa tadi? Khusyuk sahaja ibu lihat sampai tidak sedar hari sudah
senja” usik Puan Hidayah sambil tersenyum melihat gelagat anak tunggalnya itu.
     “Eh, mana ada Amani termenung ibu. Amani cuma perhatikan kanak-kanak yang sedang
bermain. Kenapa, ibu lihat Amani seperti orang sedang termenungkah?” Soal Amani
sambil tersenyum.
     “Ada jugalah sedikit. Ibu ingatkan badan sahaja di sini, tetapi fikiran sudah melayang ke
London,” ujar Puan Hidayah mengembalikan paku buah keras kerana Amani pernah
berkata begitu padanya siang tadi.
     “Oh, ini kiranya ibu mahu membalas dendam ya?” Ketawa Amani sambil merangkul
ibunya.
     “Sudahlah, pergi bersiap cepat, nanti lambat pula solat maghrib.” Ujar Puan Hidayah.
Puan Hidayah sering kali mengingatkan Amani supaya tidak melengah-lengahkan solat.
Dia sering memberi nasihat yang berkaitan dengan agama kepada Amani. Kadang-kala
Amani yang terkenal dengan sikap suka menyakat itu memanggil ibunya ustazah.
Sesuai dengan namanya Hidayah. Puan Hidayah berbuat begitu kerana dia tidak
mahu satu-satu anaknya itu menjadi dangkal ilmu pengetahuan mengenai hal agama.
     Usai solat maghrib Amani merebahkan diri di atas katil usang miliknya. Penat
kerana menolong ibunya pada siang hari tadi. Amani melihat ke luar jendela. Bintang malam
berkelipan dan bulan cerah pada malam tersebut. Amani gembira kerana dapat melayan
perasaan di malam yang damai itu. Padi kelihatan terlentok-lentok ditiup angin malam,
bulan pula menyimbahkan cahayanya. Tenang. Tiba-tiba Amani teringat akan ibunya,
     “Apa yang ibu buat? Bunyi macam sedang membaiki sesuatu sahaja. Baik aku pergi
lihat,” ujar Amani sendirian.
     Dia berjalan menuju ke bahagian ruang tamu rumahnya. Kelihatan ibunya sedang
 membelek mesin jahit yang sudah pun rosak.
      “Apa yang ibu buat? Bukankah mesin jahit ini sudah rosak. Sudah tidak boleh digunakan
lagi.” Amani memberitahu fakta yang sedia maklum diketahui oleh ibunya.
     “Memanglah mesin jahit ini rosak. Ibu sahaja mahu lihat mungkin ibu masih boleh baiki
mesin ini. Mana tahu, mesin ini boleh digunakan semula,” ujar Puan Hidayah sambil  
membelek mesin jahit itu.    
     “Ibu… sah-sahlah tidak boleh digunakan. Mesin ini terbiar di sini hampir dua tahun.
Kalau ibu tahu punca mesin ini rosak sekalipun, macamlah ibu boleh baiki. Ibu
memang boleh baiki mesin ya? Kenapa tiba-tiba ibu mahu membaiki mesin jahit ini? Selama
ini, ibu hanya biarkan sahaja. Kenapa ibu?” soal Amani tidak berhenti.
     Ketawa Puan Hidayah melihat celoteh Amani yang dilihatnya tidak ubah seperti wartawan
 televisyen.
     “Amboi! banyaknya soalan yang kamu tujukan kepada ibu. Ibu mahu jawab yang mana
satu? Banyak sangat soalan kamu persis wartawan televisyen pun ada.” Ketawa
Puan Hidayah.          
     “Haha, maaflah ibu. Tapi ibu belum jawab soalan Amani, kenapa ibu beriya-iya mahu
membaiki mesin ini?” Soal Amani lagi.
     “Petang tadi, Mak Cik Zainab datang. Dia mahu ibu tolong jahitkan baju dia. Tapi ibu
tidak mahu ambil kerana mesin ini rosak. Ini yang ibu tengok-tengokkan mesin ini, mungkin
masih boleh digunakan. Dapat juga ibu pendapatan sampingan. Lagipun ramai lagi yang
bertanyakan hal ini kepada ibu. Tetapi ibu tolak kerana mesin rosak,” ujar Puan Hidayah
dengan nada yang agak sedih.
     “Ibu ada masalah wangkah ibu? Kalau ibu perlukan wang, ibu gunalah wang simpanan
Amani dahulu,” ujar Amani kepada ibunya.
     “Ish, ke situ pula dia. Bukan apa, ibu risau juga tahun hadapan kamu tingkatan 3, pasti
mahu guna banyak wang sebab kamu mahu menduduki PMR. Kalau ibu ambil upah
menjahit, dapat juga kita wang lebih. Dapatlah ibu beli barang keperluan kamu nanti,”
ujar Puan Hidayah sambil memandang sayu ke arah Amani.
     “Itu yang ibu risaukan? Tidak apalah ibu, nanti kita usaha untuk cari wang lebih ya.
Ibu tidak usahlah baiki mesin ini lagi. Mata ibu bukan berapa jelas pada waktu malam, nanti
lain pula jadinya,” pujuk Amani.
     “Wah, kamu ada bakat jadi penasihat ya. Betul juga kata kamu, nanti semakin rosak
mesin ini, ibu ini ‘seperti tikus membaiki labu’ pula,” ujar Puan Aisyah sambil ketawa.
     Amani turut ketawa dengan jenaka spontan ibunya itu.
     “Sudahlah, Amani masuk bilik dahulu ya,” ujar Amani sambil berlalu pergi.
     Puan Hidayah menyeka air mata yang mengalir. Entah mengapa hari ini air mata menjadi
murah. Dia mengenangkan nasib Amani. Sudahlah tidak berbapa, hidup pula dalam keadaan
 susah. Memang sukar bergelar ibu tunggal. Tidak Puan Hidayah nafikan, membesarkan anak
sendirian menagih selautan kesabaran. Kadang-kadang pohon sabar Puan Hidayah
seakan-akan mahu tertumbang. Namun Puan Hidayah cuba juga mengejapkan agar akarnya
kuat. Biarlah kepedihan berterusan menginap di segenap relung hatinya. Dia sabar
meredah gelora yang mendatang sendirian.
     Di dalam bilik, Amani termenung sambil merenung ke luar jendela. Dia risau sekiranya
ibunya mempunyai masalah dan tidak mahu berkongsi dengannya.
      “Apa yang aku boleh buat untuk bantu ibu? Duit simpanan aku sendiri pun tidak cukup
untuk membaiki mesin jahit tersebut,” keluh Amani sendirian.
     “Tidak lama lagi aku akan memasuki tingkatan 3, ibu perlukan duit lebih untuk bayar
 semua yuran sekolah aku. Itu tidak dicampur lagi dengan peralatan sekolah. Ish, pening aku
macam ini,” rungut Amani. Akhirnya Amani tertidur setelah penat memikirkan jalan
penyelesaian bagi masalahnya.
   



[close]